Wednesday, October 19, 2016

Jangan Percaya Makanan Sunnah ?

Beberapa hari lepas ada beberapa orang mesej saya, bertanyakan tentang makanan-makanan sunnah yang ada di Turki, saya pun bertanya semula apakah yang dimaksudkan. Mereka pun sebutlah tentang madu, minyak zaitun, buah delima dan lain-lain lagi.

Mereka juga sarankan saya mengkonsumsi makanan sunnah supaya lebih sihat.

Saya jawab, "Di Turki, setiap pagi kami makan buah zaitun, tomato segar, madu, cheese dan lain-lain lagi. Minyak zaitun ini memang diguna harian dalam masakan. Jus delima yang pekat itu pula memang biasa dimasukkan dalam salata (salad). Cuka anggur, cuka epal... Bla bla bla..."

Jika hendak dikirakan, semua itu saya dapatkan ditempat orang memprosesnya sendiri, jadi lebih asli. Tetapi seasli dan se-original mana pun makanan sunnah ini, tidak pula saya lihat hospital di Turki ini kosong dan tiada orang sakit. Saya tidak faham mentaliti orang kita yang semuanya menggunakan 'sunnah' bagi melariskan produk makanan kesihatan.

Tempohari pulang ke Malaysia, saya sempat melihat produk yang katanya dalam madu sudah dibacakan ayat Al-Qur'an (khatam), dalam minyak urut pun sudah dibacakan ayat Al-Qur'an dan tak boleh langkah, masa sapu kena selawat berkali-kali agar lebih berkesan, kismis untuk anak cerdik (pun sudah dikhatamkan) dan banyak lagi. Harga pula mahal.

Jika habbatussauda' itu bukan main lagi besar ceritanya, walhal di Turki memang biasa biji habbatussauda' itu kita taburkan atas makanan atau dimakan begitu saja dengan madu. Tak heboh mana pun. Dan orang di Turki ini tetap sakit, doktor tetap ramai dan fakulti perubatan saban tahun penuh dengan pelajar-pelajar baru yang hendak belajar medik, sebab kadar orang sakit bertambah setiap masa (walaupun hari-hari makan makanan 'sunnah').

Jadi di mana praktikaliti atau kewajarannya ya? Penyakit tetap datang walaupun makan makanan sunnah. Memperdaya masyarakat dengan fakta yang kurang tepat dan berbohong atas nama 'sunnah' itu sangat-sangatlah tidak beretika perniagaannya.

Dan kita, janganlah lekas benar terpengaruh dan percaya.

Mengomel jam 11.11 pagi,
-Ayza Gürsoy
20085 Denizli, Turkey

sumber : ayza gursoy