Sunday, February 14, 2016

Pengurus Liverpool Paling Power Dalam Sejarah ?


#ARTIKEL - BOB PAISLEY : PENGURUS TERULUNG SEPANJANG ZAMAN

OLEH - #MASAOSATO #MREDS

Bob Paisley, pengurus berbangsa Inggeris yang berbadan gempal ini adalah pewaris kepada empayar yang dibina oleh Bill Shankly. Beliau adalah seorang pengurus yang berperwatakan pendiam dan dengan secara revolusi senyap juga dunia tersungkur penuh hina di bawah telapak kaki pengurus lagenda ini.

Sebelum era kegemilangan Bob Paisley, Bill Shankly adalah watak penting yang mengubah takdir Liverpool daripada kelab bawahan yang bermain di divisyen ke-2 kepada kelab yang sangat berkuasa di peringkat tertinggi bola sepak Inggeris. Setelah menjuarai kejohanan Piala FA pada 1973 pengurus ini secara mengejut telah meletak jawatan dengan penuh terhormat.

Legasi ini diteruskan oleh Bob Paisley dengan cemerlang.

Sebenarnya kelab bola sepak Liverpool telah bersemadi di dalam jiwa Bob Paisley sebelum beliau dilantik menjadi pengurus lagi. Bob Paisley pernah menjadi pemain sayap Liverpool, kemudian beliau menjawat peranan sebagai pakar physiotherapist kelab dan jurulatih pasukan simpanan sebelum diangkat sebagai pengurus.

Sepanjang 9 tahun menjadi pengurus Liverpool, beliau merangkul 19 trofi dalam masa yang sangat singkat. Sir Alex Ferguson, pengurus yang dicanang oleh penyokong Manchester United sebagai pengurus paling berjaya dalam sejarah bola sepak dunia pula mengambil masa yang sangat panjang iaitu selama 17 tahun untuk merangkul 19 trofi.

"Saya sangat suka jika saya boleh menjuarai satu lagi Piala Eropah", ungkapan yang pernah diluahkan Sir Alex Ferguson.

Pengurus berbangsa Scotland itu telah mencipta fenomena sepanjang 26 tahun khidmatnya di Old Trafford. Namun beliau tidak dapat bersara dengan tenang kerana tidak berjaya mengatasi rekod Bob Paisley iaitu menjuarai 3 piala Eropah sebagai pengurus. Sir Alex Ferguson hanya mempunyai 2 Piala Eropah dalam kabinet trofinya.

Hanya Carlo Ancelotti satu-satunya pengurus yang berjaya menyamai rekod Bob Paisley dengan menjuarai 3 trofi Liga Juara-Juara Eropah. Carlo Ancelotti mencipta rekod tersebut dengan kelab yang berbeza tetapi Bob Paisley mencipta rekod tersebut dengan satu kelab sahaja.

Jika diukur pencapaian pengurus-pengurus terhebat yang pernah wujud dalam arena bola sepak dengan pencapaian Bob Paisley, pengurus lagenda Liverpool ini jauh ke hadapan dengan rekod yang luar biasa.

Jose Mourinho, "The Special One" yang dipecat 2 kali oleh Chelsea secara purata memperoleh trofi setiap 34 perlawanan.

Louis Van Gaal pengurus yang mempunyai falsafah bola sepak yang membosankan pula secara purata memperoleh trofi setiap 43 perlawanan.

Sir Alex Ferguson pengurus yang sering menyalahkan pengadil sepanjang tempoh khidmatnya di Old Trafford pula secara purata memperoleh trofi setiap 48 perlawanan.

Pengurus lagenda Liverpool Bob Paisley pula mencatat rekod luar biasa, secara purata memperoleh trofi setiap 26 perlawanan.

Pemerhati bola sepak seluruh dunia dan media bagai telah bersepakat melakukan satu jenayah kerana nama Bob Paisley sering dilupakan apabila perbincangan mengenai pengurus terbaik sepanjang zaman diperdebatkan.

Sir Alex Ferguson ? Jose Mourinho ? Carlo Ancelotti ? Siapa mereka ? ini ialah BOB PAISLEY, pengurus terulung yang pernah wujud di atas muka bumi ini.

#ADMIN
Sedih apabila Bob Paisley tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya. Artikel ini dihasilkan sebagai penghargaan dan menjelaskan tentang kehebatan pengurus lagenda Liverpool ini.
kredit: Malaysia Reds