Pemutih Gigi Bahaya ?



Ramai di kalangan masyarakat sangat suka kepada warna gigi yang putih. Namun begitu di atas sebab pengaruh usia, penyakit genetik (Amelogenesis/dentinogenesis imperfecta), permukaan dentin terdedah akibat gigi haus, merokok dan pemakanan, maka gigi akan berubah warna. Gigi akan berwarna kekuningan dan kusam. Pelbagai cara dilakukan untuk menjadikan warna gigi menjadi putih. Antaranya ialah, penggunaan ubat gigi, penggilapan, rawatan korona, veneer oleh pegawai pergigian dan yang paling popular adalah ‘bleaching’ yang juga dilakukan oleh pegawai pergigian. ‘Bleaching’ atau pemutihan gigi adalah rawatan yang diakui kejayaannya. Sebanyak 90% kejayaan telah dilaporkan untuk pemutihan intrakorona gigi ‘non-vital’. Terdapat dua jenis pemutihan gigi iaitu ‘vital bleaching’ dan ‘non-vital bleaching’. 

Vital Bleaching (VB) 

Proses pemutihan dilakukan pada permukaan luaran gigi dengan menggunakan ceper. Ia boleh dilakukan sendiri oleh pesakit atau dilakukan di klinik pergigian. Ceper yang berisi bahan pemutih akan diletakkan kedalam mulut pesakit dan dibiarkan untuk jangka masa tertentu. Kesan pemutihan akan dapat dilihat selepas rawatan. 

Non vital bleaching (NVB) 

Proses pemutihan dilakukan di dalam gigi yang telah dilakukan rawatan akar. Putik kapas yang mengandungi bahan pemutih diletakkan ke dalam gigi diikuti dengan tampalan sementara. Temujanji susulan akan dilakukan untuk melihat kesan kepada gigi tersebut. Proses ini akan diulang beberapa kali untuk mendapat hasil yang memuaskan pesakit. 

Proses pemutihan gigi melibatkan penggunaan bahan aktif hydrogen peroxide. Bahan ini adalah agen pengoksida yang kuat, menghasilkan radikal-radikal bebas dan mampu bertindak untuk melarutkan warna / kromogen pada permukaan gigi. Sebanyak 10 % Carbamide peroxide juga ada kalanya digunakan untuk proses pemutihan gigi. Hasil akhir daripada proses ini bergantung kepada kepekatan bahan aktif yang digunakan, kemampuan bahan aktif itu menembusi gigi, dan masa dan berapa kali proses itu diulang. Adakalanya, pegawai pergigian menggunakan proses pemanasan (thermo-catalytic procedure) untuk mempercepatkan tindak balas bahan aktif tersebut. Proses ini tidak digalakkan kerana kesan sampingan seperti ‘cervical root resorption’ dan gigi menjadi sensitif akan terjadi. Banyak kajian saintifik telah melaporkan komplikasi-komplikasi ini. 

Tidak semua pesakit boleh menerima rawatan ini. Kaedah rawatan ini dilakukan pada pesakit yang mempunyai: 
  • Fluorosis (kesan sampingan terlalu banyak fluorida) 
  • ‘Staining’ disebabkan merokok, faktor pemakanan/minuman (teh, kopi) 
  • Gigi yang bertukar warna setelah rawatan akar 
  • ‘Tetracycline staining’ (gigi bertukar warna setelah mengambil antibiotik tetracycline) 

Namun begitu, kaedah rawatan ini perlu mendapat nasihat daripada pegawai yang bertauliah kerana jika dilakukan dengan tidak betul kesan sampingan boleh terjadi. Antaranya: 
  • Gigi akan menjadi nipis dan sensitif 
  • Resorbsi pada akar gigi 
  • Iritasi pada mukosa / tisu lembut 

Ia terjadi jika kebocoran bahan pemutih (hydrogen peroxide) pada permukaan tisu lembut akibat daripada ceper yang digunakan tidak sesuai dengan mulut pesakit 

  1. Kesan pada permukaan gigi - Bagi pegawai pergigian sekiranya mereka ingin membuat tampalan sewarna gigi, mereka perlu melewatkan prosedur itu kerana radikal bebas dari bahan aktif itu akan merencat / melambatkan proses ‘polymerisation’ tampalan sewarna itu. Tampalan sewarna boleh dilakukan selepas seminggu atau lebih agar restorasi yang dibuat lebih tahan lama.
  2. Kesan terhadap restorasi yang ada seperti meningkatkan pengeluaran merkuri dari tampalan amalgam, melarutkan tampalan GIC. 

Kesan sampingan perlu diterangkan kepada pesakit terlebih dahulu agar mereka faham. Selalunya, sebelum melakukan prosedur ini, pegawai pergigian perlu memberitahu berkaitan proses pemutihan dijalankan, apakah prognosis pada gigi, serta rawatan alternatif yang boleh dilakukan. Selain daripada itu pegawai juga perlulah mendapatkan kebenaran rawatan dari pesakit. 

Kesimpulannya, pemutihan gigi hanya boleh dilakukan untuk keadaan tertentu sahaja. Jangan jadikan ia satu amalan harian kerana ia tidak sihat untuk kesihatan gigi. Penjualan ubat pemutihan gigi di kaunter- kaunter farmasi seharusnya mendapat preskripsi daripada pegawai pergigian sebelum diberikan kepada pengguna. Konsentrasi kandungan bahan aktif yang berbeza di dalam ubat-ubat tersebut akan memberi kesan sampingan yang lebih buruk kepada pengguna.

kredit: mmgazete


Comments

Popular Posts