Anggur Ajaib Menyelesaikan Pelbagai Penyakit

Thursday, February 18, 2016

Mimpi Seorang Gadis Yang Sedang Sakit




MIMPI SEORANG GADIS
Oleh Ustazah Noorba'yah Mahmood di Program Motivasi Pagi -TV 3 (6.30 pagi) 

Seorang gadis datang menemui Rasulullah SAW dengan tangan kanannya disorokkan ke dalam saku atau poket bajunya. Dari raut wajahnya, anak gadis ini sedang menanggung kesakitan yang amat sangat. Lalu Rasulullah SAW menegurnya; "Wahai anakku, kenapa wajahmu menampakkan kamu sedang sakit dan apa yang kamu sorokkan di tanganmu?"

Lalu gadis malang itu pun menceritakan hal yang berlaku kepadanya; "Ya, Rasulullah, sesungguhnya aku adalah anak yatim piatu. Malam tadi aku telah bermimpi dan mimpiku itu telah membuatkan aku menanggung kesakitan ini." 

Sambung gadis itu lagi; "Aku bermimpi berjumpa ibuku di dalam neraka. Keadaannya amat menyedihkan. Ibu meminta diberikan air kerana dia amat dahaga akibat kepanasan api neraka itu hingga peluh tidak sempat keluar kerana berlaku kekeringan dalam sekelip mata." Gadis itu berhenti seketika menahan sebaknya. 

"Kemudian aku lihat di tangan kirinya ada seketul keju dan di tangan kanannya ada sehelai tuala kecil. Beliau mengibas-ngibaskan kedua-dua benda tersebut untuk menghalang api dari membakar tubuhnya. Lantas aku bertanya ibuku, kenapa dia menerima balasan sebegitu rupa sedangkan ketika hidupnya ibu adalah seorang hamba yang patuh dengan ajaran Islam dan pula isteri yang taat kepada suaminya? 

"Namun, ketika hidupnya dia amat bakhil. Hanya dua benda itu sahaja iaitu seketul keju dan sehelai tuala kecil yang pernah disedekahkan kepada orang fakir. Yang lainnya hanya untuk bermuka-muka dan menunjukkan kelebihan hartanya sahaja."

"Lalu aku terus mencari ayahku. Rupanya ayah berada di syurga dan sedang menjamu penghuni syurga dengan makanan yang lazat dan minuman dari telaga nabi. Ayahku memang terkenal kerana sikapnya yang dermawan dan kuat beramal. Lalu aku bertanya kepada ayahku; 'Wahai ayah, ibu sedang kehausan dan menanggung azab di neraka. Tidakkah ayah ingin membantu ibu sedangkan di dunia ku lihat ibu amat mentaatimu dan menurut perintah agama.' Lalu dijawab oleh ayahku: 'Sesungguhnya beliau dan semua penghuni syurga telah dilarang oleh Allah dari memberi walau setitik air kepada isterinya kerana itu adalah pembalasan untuk kebakhilan yang dilakukan ketika di dunia.' Oleh kerana kasihan melihat azab yang diterima oleh ibuku, aku lantas menceduk sedikit air mengguna tapak tangan kananku lalu dibawa ke neraka. Belum sempat air tersebut mencecah bibir ibuku, api neraka telah menyambar tanganku sehingga melecur. Seketika itu juga aku tersedar dan mendapati tapak tanganku melecur teruk. Itulah sebabnya aku datang berjumpa engkau, ya Rasulullah."

Panjang lebar gadis itu bercerita sambil airmatanya tidak henti-henti mengalir di pipi. Rasulullah SAW kemudian meletakkan tongkatnya ke tapak tangan gadis tersebut lalu menadah tangan, berdoa memohon petunjuk dari Allah SWT. Jika sekiranya mimpi gadis tersebut adalah benar maka sembuhkanlah dia agar menjadi iktibar kepada semua umat Islam. 

Lalu berkat kebesaran~Nya, tangan gadis tersebut sembuh seperti sediakala. Rasulullah SAW lantas bersabda; "Wahai anakku, pulanglah. Banyakkan bersedekah dan berzikir dan pahalanya kau berikan kepada ibumu. Mudah-mudahan segala dosanya terampun. IN SYAA ALLAH." 





No comments:

Post a Comment