Tuesday, February 9, 2016

10 Hadis Taat Kepada Ibu


Hadis 1

Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya, aku bertanya Rasulullah s.a.w: “Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?”. Rasulullah s.a.w menjawab, “Ibumu”. Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?”. Rasulullah s.a.w menjawab, “Ibumu”. Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?”. Rasulullah s.a.w menjawab, “Ibumu”. Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?”. Rasulullah s.a.w menjawab, “Bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya”. (Hadis Riwayat Tirmizi)

Hadis 2

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya, “Redha Allah bergantung pada redha kedua-dua ibu bapa dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa”. (Hadis Riwayat Hakim)

Hadis 3

“Sesiapa yang membuat ibu dan bapanya gembira (memberi keredhaan), maka sesungguhnya ia mendapat redha Allah s.w.t”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Hadis 4

Abdullah bin Masud pernah bertanya kepada Rasullullah s.a.w, “Apakah amalan yang paling Allah s.w.t sukai?”. Baginda menjawab, “Solat tepat pada waktunya”. Abdullah bin Masud bertanya lagi, “Kemudian apa?”. Baginda menjawab, “Melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa”. Abdullah bertanya lagi, “Kemudian apa?”. Rasullullah s.a.w menjawab, “Jihad kerana agama Allah s.w.t”. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis 5

“Kembalilah kepada kedua ibu bapamu dan buatlah keduanya tertawa sebagaimana engkau telah membuat keduanya menangis”. (Hadis Riwayat Abu Daud & Baihaqi)

Hadis 6

Daripada Abu Usaid Malik bin Rabi’ah As Sa’idy r.a berkata, suatu ketika kami duduk di hadapan Rasulullah s.a.w. Kemudian, datanglah seorang lelaki dari Bani Salimah dan bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah masih ada kebaikan yang boleh saya kerjakan untuk berbakti kepada kedua ibu bapa saya setelah mereka meninggal dunia?”.

Beliau menjawab, “Ya, masih ada iaitu menyembahyangkan jenazahnya, meminta ampun buat keduanya, melaksanakan janji-janjinya setelah keduanya meninggal dunia, menyambung tali persahabatan yang tidak boleh disambungnya kecuali dengan keduanya dan memuliakan sahabat keduanya”. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Hadis 7

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya, “Seorang anak tidak dapat membalas jasa orang tuanya sehingga dia mendapati orang tuanya menjadi hamba sahaya kemudian dibeli dan dimerdekakan mereka”. (Hadis Riwayat Muslim & Abu Daud)

Hadis 8

Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya, “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umur dan ditambahkan rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya serta menyambungkan silaturahim”. (Hadis Riwayat Ahmad)

Hadis 9

Daripada Malik bin Zurarah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya, “Memohon keampunan untuk ibu bapa yang meninggal dunia daripada seorang anak, termasuk perbuatan berbakti”. (Hadis Riwayat Ibnu Najar)


Hadis 10

Abu Hurairah r.a berkata Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya, “Sesungguhnya seseorang akan diangkat darjatnya di syurga maka dia berkata, Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya semua ini untukku?”. Maka dijawab, “Daripada permintaan keampunan anakmu untukmu”. (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah & Baihaqi)